
KUCHING, 9 Mei – Penggunaan baju batik semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sarawak, Fuad Ariffin berkata, penggunaannya kini bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam, malah turut diminati golongan muda dan sektor swasta sebagai pakaian santai serta pakaian wajib pada hari Khamis.
“Ada perkembangan yang baik dalam penggunaan batik, bukan sahaja dalam kalangan penjawat awam tetapi juga sektor swasta dan golongan muda yang menggunakan batik sebagai pakaian santai serta pakaian wajib pada hari Khamis,” katanya.
Fuad ditemui pemberita RTM selepas diwawancara di Konti Sarawak FM di Kuching, pagi tadi.
Beliau turut mengingatkan terdapat perbezaan antara batik Malaysia dan Indonesia, terutama dari segi motif yang dipaparkan pada pakaian berkenaan.
Dalam temu bual secara langsung itu, beliau mendedahkan kemasukan pelajar ke Institut Kraf Negara Kampus Satelit Sarawak agak perlahan.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai masyarakat memohon bagi mendalami ilmu seni kraf tempatan termasuk pembuatan pua kumbu dan keringkam Sarawak.
Sumber: RTM Sarawak
