

PUTRAJAYA, 6 MEI 2026 – Kementerian Digital melalui Jabatan Digital
Negara (JDN) terus komited memperkasakan akses digital negara menerusi
Program MADANINET, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Inisiatif strategik ini memfokuskan kepada penilaian ketersediaan infrastruktur
dan penyediaan capaian internet berkapasiti tinggi melalui perkhidmatan
MyGov*Net, terutamanya di fasiliti kesihatan luar bandar dan pedalaman.
Program ini bukan sekadar menyediakan talian internet, malah berfungsi
sebagai pemangkin transformasi sektor awam dengan memastikan
kesinambungan perkhidmatan, mempercepat penyampaian maklumat, serta
memperluas penggunaan aplikasi digital kerajaan secara inklusif.
Keberkesanan inisiatif ini terbukti dalam transformasi sektor kesihatan digital.
Dengan adanya capaian yang stabil, perkhidmatan seperti teleperubatan, rekod
kesihatan elektronik, dan pemantauan pesakit secara masa nyata kini dapat
dilaksanakan dengan lebih cekap.
Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kualiti
operasi di klinik-klinik luar bandar, malah merapatkan jurang digital dengan
memastikan rawatan berkualiti dapat diakses oleh komuniti pedalaman setaraf
dengan kawasan bandar.
Sehingga April 2026, sebanyak 2,883 fasiliti di bawah Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) telah berjaya dihubungkan melalui rangkaian telekomunikasi
bersepadu MyGov*Net.
Rangkaian ini menggunakan kepelbagaian teknologi
mengikut kesesuaian geografi, merangkumi gentian optik, selular, Fixed
Wireless Access (FWA), dan Very Small Aperture Terminal High Throughput
Satellite (VSAT HTS).
Bagi kawasan yang mempunyai kekangan geografi untuk
pemasangan kabel gentian optik, teknologi VSAT HTS dan selular menjadi
alternatif utama bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan agensi tanpa
gangguan.
Bagi memastikan kualiti perkhidmatan sentiasa berada pada tahap optimum,
Program MADANINET turut melaksanakan peranan inspektorat turun padang.
Sejak Oktober 2022, pengurusan tertinggi Kementerian Digital, JDN, dan KKM
telah melawat 21 fasiliti kesihatan terpilih daripada keseluruhan 2,079 Klinik
Kesihatan dan Klinik Desa di kawasan luar bandar.
Lawatan ini bertujuan untuk
memantau keberkesanan program, mengenal pasti lokasi yang mengalami
gangguan liputan, serta menangani isu pelaksanaan secara terus di lapangan.
Salah satu pencapaian signifikan adalah pemasangan teknologi VSAT HTS di
116 fasiliti pedalaman yang sebelum ini ketiadaan infrastruktur gentian optik.
Melalui peningkatan ini, fasiliti berkenaan kini menikmati kelajuan internet
sehingga 25Mbps, iaitu peningkatan drastik berbanding hanya 4Mbps sebelum
ini.
Lonjakan kelajuan ini membolehkan urusan pentadbiran dan klinikal seperti
penggunaan Hospital Information System (HIS), sidang video konsultasi
perubatan, serta pengurusan sumber manusia melalui HRMIS dilaksanakan
dengan lebih efisien dan pantas.
Secara keseluruhannya, pemantauan berterusan akan terus dijalankan oleh
semua pihak berkepentingan bagi memastikan manfaat teknologi ini dirasai
sepenuhnya oleh rakyat.
Inisiatif MADANINET mencerminkan tekad kerajaan
dalam memastikan kemajuan teknologi dinikmati oleh setiap lapisan
masyarakat, selaras dengan visi besar memacu Malaysia ke arah Negara AI
2030.
Dikeluarkan oleh:
Kementerian Digital.
