
WASHINGTON, 30 April – Pentagon buat pertama kali mendedahkan bahawa perang Amerika Syarikat di Iran telah menelan kos sebanyak AS$25 bilion setakat ini, menurut seorang pegawai kanan pertahanan pada Rabu.
Pegawai yang menjalankan tugas sebagai pengawal kewangan Pentagon, Jules Hurst, berkata sebahagian besar perbelanjaan itu digunakan untuk bekalan peluru dan persenjataan, namun tidak memperincikan sama ada angka tersebut turut merangkumi kos membaik pulih pangkalan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat yang terjejas akibat konflik.
Pendedahan itu dibuat ketika tekanan politik semakin meningkat menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, di mana Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump dijangka berdepan cabaran untuk mengekalkan majoriti mereka di Dewan Perwakilan.
Dalam masa sama, Parti Demokrat dilaporkan cuba mengaitkan perang yang tidak popular itu dengan isu kos sara hidup bagi meraih sokongan pengundi, susulan kedudukan mereka yang semakin kukuh dalam tinjauan pendapat awam.
Angka AS$25 bilion itu dilaporkan bersamaan dengan keseluruhan bajet NASA bagi tahun ini.
Namun begitu, masih belum jelas bagaimana Pentagon membuat pengiraan sehingga mencapai angka berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan bahawa enam hari pertama perang sahaja dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya AS$11.3 bilion.
