
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR
PEMAKLUMAN MENGENAI KEJADIAN RIBUT YANG TELAH
MENYEBABKAN KEROSAKAN DI KLINIK KESIHATAN SIJANGKANG,
KUALA LANGAT, SELANGOR
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ingin memaklumkan bahawa satu kejadian
ribut telah berlaku pada 25 April 2026, sekitar jam 4:15 petang, yang telah
mengakibatkan kerosakan pada bumbung Unit Pesakit Luar Klinik Kesihatan
Sijangkang.
Insiden tersebut menyebabkan kemasukan air hujan ke dalam
premis klinik.
Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan anggota kesihatan mahupun orang
awam.
Tindakan segera telah diambil termasuk menghubungi Tenaga Nasional
Berhad bagi pemulihan bekalan elektrik serta pelantikan kontraktor untuk kerja-
kerja pembaikan.
Penilaian lanjut terhadap keseluruhan struktur bangunan
akan dilaksanakan oleh pihak Jurutera Daerah dalam masa terdekat.
Bagi memastikan keselamatan dan kelangsungan perkhidmatan, Klinik
Kesihatan Sijangkang ditutup sementara untuk tujuan pembaikan dan
perkhidmatan perawatan pesakit akan dipindahkan secara sementara ke Klinik
Kesihatan berhampiran, iaitu ke Klinik Kesihatan Kebun Baru, Klinik Kesihatan
Teluk Panglima Garang dan Klinik Desa Sijangkang Luar.
Orang awam telah dimaklumkan melalui pelbagai saluran termasuk pesanan
ringkas kepada pesakit yang mempunyai temu janji, media sosial rasmi,
hebahan komuniti serta notis di premis klinik.
Perkembangan lanjut akan
dimaklumkan dari semasa ke semasa.
JABATAN KESIHATAN NEGERI SELANGOR
25 APRIL 2026
