
TEHRAN, 23 April – Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf menegaskan bahawa gencatan senjata sepenuhnya hanya akan bermakna sekiranya Amerika Syarikat (AS) menamatkan sekatan maritim terhadap pelabuhan negara itu.
Menerusi hantaran di laman X, Qalibaf yang juga perunding utama Iran menyatakan bahawa pembukaan semula Selat Hormuz mustahil dilaksanakan ketika ‘pencabulan nyata terhadap gencatan senjata’ masih berlaku.
“Gencatan senjata yang menyeluruh hanya akan bermakna jika tidak dicabuli melalui sekatan laut serta tindakan menjadikan ekonomi global sebagai tebusan, selain menghentikan provokasi perang Zionis di semua barisan hadapan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pihak lawan gagal mencapai objektif melalui pencerobohan ketenteraan, dan tidak akan mencapainya melalui tindakan membuli. Tegasnya, jalan penyelesaian tunggal adalah dengan mengiktiraf hak rakyat Iran.
Tehran sebelum ini mengenakan sekatan terhadap kapal yang melalui laluan strategik di selatan Teluk itu susulan serangan pengeboman oleh AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu.
Tindakan tersebut telah melumpuhkan hampir keseluruhan trafik maritim di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengekalkan sekatan Tentera Laut AS terhadap perdagangan laut Iran, yang dianggap oleh Tehran sebagai satu tindakan perang.
Iran menegaskan selagi sekatan itu berterusan, mereka tidak akan menarik balik penutupan selat tersebut, yang kini telah mencetuskan krisis tenaga global. – REUTERS
