KDN sita lebih enam ribu teks , bahan al-Quran bernilai RM378,171 .90 menerusi Op Mulia

17 April 2026, Klang –

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, hari ini hadir menyaksikan pelaksanaan Program Pemurnian Al-Quran
di perairan berhampiran Pelabuhan Klang, Selangor sebagai sebahagian
daripada komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam
memastikan kesucian, kesahihan dan ketulenan teks al-Quran di negara ini
terus terpelihara.

Program tersebut melibatkan pelepasan bongkah abu al-Quran seberat 1.5
tan ke laut menggunakan Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah milik Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Abu tersebut terhasil daripada
proses pemurnian sebanyak 8,672 teks dan bahan al-Quran dengan anggaran
nilai keseluruhan RM2.7 juta.

Pelaksanaan ini dijalankan pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari daratan
dengan kedalaman sekitar 10 meter, selaras dengan garis panduan pelupusan
yang telah ditetapkan oleh KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan
Pencetakan Al-Quran (LPPPQ).

Seiring dengan usaha pemurnian tersebut, KDN melalui Bahagian
Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) turut mempergiatkan Ops Mulia, iaitu
operasi penguatkuasaan menyeluruh bagi memastikan pematuhan terhadap
Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac
2026, sebanyak 1,758 premis telah diperiksa dengan nilai penguatkuasaan
berjumlah RM378,171.92.

TINDAKAN LANJUT

Hasil operasi tersebut, sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran telah
disita kerana melanggar peruntukan undang-undang, manakala 44 kertas
siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) yang
dilaksanakan sejak tahun 2023 terus mencatatkan pencapaian positif dengan
725 program di seluruh negara, melibatkan pertukaran sebanyak 76,235
mushaf yang rosak, usang atau tidak diperakui kepada mushaf baharu yang
diperakui KDN.

Susulan kejayaan tersebut, program JEQ turut menerima pengiktirafan The
Largest Quran Exchange daripada Malaysian Book of Records, sekali gus
mencerminkan usaha berterusan KDN dalam memperkukuh pemeliharaan
kesucian al-Quran serta meningkatkan kesedaran awam.

KDN menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara kesucian al-Quran
merangkumi keseluruhan rantaian, termasuk aspek penerbitan, pencetakan,
pengimportan, pengedaran, pemurnian dan pelupusan, selaras dengan
peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

KAWAL SETIA

Sehubungan itu, KDN akan terus komited melaksanakan tindakan
penguatkuasaan dan kawal selia secara berterusan bagi memastikan
kemaslahatan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *