Pasukan Perlis Old School tumpaskan Bekpes Hot FC dengan 3-1

Oleh: Sholina Osman
14 APRIL 2026

Pasukan Perlis Old School berjaya menumpaskan Bekpes Hot FC 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 sehingga berakhir masa penuh dalam aksi bolasepak di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar pada ahad malam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan sepak mula, menyaksikan perlawanan, dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah.

Perlawanan ini juga adalah sebahagian daripada acara sambutan bersempena Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Hadir sama ialah Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Wan Zikri Afthar Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran serta Pengarah Media Prima Omnia, Sharifah Omar.

BEKAS PEMAIN KEBANGSAAN

Antara legenda Singa Utara yang turun bermain ialah Saidin Osman, Muhamad Kaironnisam Sahabudin Hussain, dan Azizi Mat Rose bagi pasukan Perlis Old School, serta bekas pemain kebangsaan terdiri daripada Muhamad Khalid Jamlus, Zaquan Adha dan Amri Yahyah pula untuk Bekpes Hot FC.

Turut terlibat ialah selebriti dan juruhebah radio terkenal seperti Johan Raja Lawak, Ag Azmeer, serta penampilan Farah Fauzana sebagai Pengurus Pasukan bersama beberapa artis lain.

Semua yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh Ara Johari, dan W.A.R.I.S yang menambahkan lagi kemeriahan acara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *