

LUNDU, 2 April 2026 β Pasukan Tindakan Khas (PTK) Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak telah berjaya menumpaskan satu aktiviti penyeludupan migran dalam satu operasi khas Ops Serkap yang dijalankan di kawasan sempadan Biawak, Lundu, pagi tadi.
Operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang yang aktif melalui laluan tidak diwartakan berhampiran perimeter ICQS Biawak.
Seramai sembilan (9) anggota PTK telah digerakkan dalam operasi berkenaan dengan menggunakan satu kenderaan rasmi jabatan dan empat kenderaan persendirian.
MENGESAN DUA BUAH KENDERAAN
Semasa operasi dijalankan, pasukan telah mengesan dua buah kenderaan yang dipercayai memuatkan migran dari kawasan hutan sebelum bergerak keluar menuju ke jalan utama Biawak, Lundu.
Pasukan bertindak mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum berjaya menahan dan memeriksa di tepi jalan berhampiran Lorong Opek 8, Jalan Biawak. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 16 orang warga asing, terdiri daripada 12 lelaki dan 4 perempuan, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Penguatkuasa untuk tindakan lanjut. Turut disita dalam operasi ini adalah dua buah kenderaan yang digunakan dalam aktiviti tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta ATIPSOM serta Seksyen 5(1), 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan di negeri ini.
