MCMC keluar pelawaan pertama bagi penyerahan draf pelan JENDELA 2

Oleh: Sholina Osman
31 MAC 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengeluarkan pelawaan pertama bagi penyerahan draf pelan di bawah Jalinan Digital Negara Fasa 2 (JENDELA 2).

Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa ia mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur digital negara serta meningkatkan kesalinghubungan di seluruh negara.

Pelaksanaan Kumpulan 1 merangkumi pendekatan bersesuaian (fit-for-purpose), termasuk penyediaan perkhidmatan selular awam bagi 4G dan 5G (jika sesuai), penyelesaian Wi-Fi melalui sambungan satelit, serta pelaksanaan Neutral Host Platform buat julung kalinya.

Platform ini membolehkan pengguna mengakses rangkaian Wi-Fi dengan menggunakan pelan data mudah alih sedia ada daripada pengendali rangkaian masing-masing, sekali gus menyokong pengalaman pengguna yang lebih konsisten dan mudah.

MENINGKATKAN KUALITI PERKHIDMATAN

Sejak pelaksanaan JENDELA Fasa 1, Kerajaan telah mencapai kemajuan dalam memperluas liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, dan JENDELA 2 merupakan kesinambungan usaha tersebut.

Inisiatif ini dirangka untuk merapatkan jurang liputan, meningkatkan prestasi rangkaian, serta memperluas akses jalur lebar berkualiti tinggi, khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan kurang mendapat perkhidmatan.

Inisiatif ini menyokong agenda nasional untuk meluaskan liputan Internet ke 2,700 tapak di seluruh negara, dan melibatkan kira-kira 217,000 penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak, serta memastikan komuniti tersebut terus mendapat perhatian dalam agenda pembangunan negara.

MERANGKUMI 1,000 TAPAK

Kumpulan 1 merangkumi 1,000 tapak di seluruh negara, dengan 31.1 peratus di Semenanjung Malaysia, 33.7 peratus di Sarawak dan 35.2 peratus di Sabah.

Projek ini dijangka bermula seawal suku ketiga 2026, tertakluk kepada proses penilaian dan tadbir urus.

Baki 1, 700 tapak akan dilaksanakan dalam kumpulan seterusnya, yang akan dimuktamadkan oleh MCMC kelak.

Selaras dengan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002, MCMC mempelawa pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan Pendaftaran Minat dan Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat dalam tempoh yang ditetapkan.

Penyerahan ini akan menjadi asas penilaian MCMC bagi mengenal pasti pemegang lesen yang sesuai.

MCMC akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan JENDELA 2 berjalan lancar serta penyediaan
digital berkualiti di seluruh negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *