NURUL IZZAH KEKAL KOMITED JALANKAN TUGAS TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN, GESA ORANG RAMAI JANGAN TERPENGARUH MAKLUMAT PALSU

Nurul Izzah terus komited menjalankan amanah sebagai Timbalan Presiden KEADILAN. Foto bersama penulis semasa sesi bual bicara tidak lama dahulu.

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

31 Mac 2026

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar akhirnya tampil menjelaskan khabar angin yang timbul berkaitan peletakan jawatannya yang timbul sejak kebelakangan ini.

Nurul Izzah dengan tegas menafikan khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai maklumat palsu dan spekulasi yang berniat jahat.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan, bahawa dakwaan peletakan jawatan itu sama sekali tidak benar.

“Saya kekal komited menjalankan amanah diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi.

“Tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada, dan fokus utama saya kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah seterusnya menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu.

“Segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti,” katanya lagi.

CUBAAN MENGGUGAT KEYAKINAN

Dengan penjelasan daripada tuan badan sendiri, bermakna tertutup sudahlah spekulasi yang berlegar sejak beberapa hari lalu itu.

Dakwaan tersebut disebarkan melalui media sosial serta secara lisan sehingga penulis sendiri `diserang mesej palsu’ tersebut melalui whatsapp daripada pelbagai individu.

Walaupun Setiausaha Agung KEADILAN Datok Dr. Fuziah Salleh telah menafikan khabar angin yang mengatakan Nurul Izzah mengosongkan jawatan Timbalan Presiden parti, namun berita tersebut terus dispekulasikan.

Ternyata cubaan mahu menggugat keyakinan orang ramai khasnya anggota-anggota KEADILAN tidak berhenti.

Dengan adanya penjelasan oleh Nurul Izzah sendiri, tentunya juga merupakan berita gembira buat anggota KEADILAN dalam mengharungi masa depan perjuangan parti.

Terbukti Nurul Izzah kekal komited bersama parti dalam meneruskan perjuangannya, sekaligus untuk terus memperkukuh kedudukan parti menghadapi PRN dan PRU mendatang yang bakal diadakan selepas ini.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *