



KUCHING, 29 Mac β Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak Tahun 1447H/2026 anjuran Majlis Islam Sarawak, MIS malam ini berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian menarik bertempat di Dewan Kompleks Islam Sarawak.
Majlis diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Penganjuran program tahunan ini bertujuan menzahirkan kesyukuran sempena sambutan Aidilfitri oleh kakitangan agensi-agensi Islam Sarawak bersama pimpinan tertinggi kerajaan negeri.
Pada majlis itu, Tun Pehin Sri dan Toh Puan turut menyempurnakan upacara pemotongan kek bersama ketua-ketua agensi Islam sebagai simbolik kesyukuran dalam meraikan perayaan umat Islam ini.
Selain agensi-agensi Islam, majlis ini turut melibatkan penyertaan badan bukan kerajaan (NGO) Islam terpilih seperti PERKIM, HIKMAH serta Urusetia Saudara Kita, dengan jumlah keseluruhan jemputan seramai 1,000 orang.
Bertemakan βRaya di Perantauanβ, sebanyak 16 gerai disediakan yang menawarkan pelbagai juadah dari dalam dan luar negara, sekali gus mempamerkan kreativiti serta jalinan kerjasama dalam kalangan warga agensi Islam di Sarawak.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan jemputan daripada organisasi-organisasi agama lain.
Antara organisasi yang hadir termasuk Association of Churches in Sarawak, Kuching Buddhist Society, Spiritual Assembly of the Bahaβi of Sarawak, Malaysian Buddhist Association Sarawak, Malaysia Hindu Sangam Sarawak serta Ming De Cultural Chinese Association.
Kehadiran pelbagai organisasi agama ini mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian dan saling menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.
MADELINA
