


Oleh: Sholina Osman
29 MAC 2026
Kementerian Digital memandang serius ekoran kebimbangan oleh pihak berkepentingan industri berhubung perubahan terkini terhadap garis panduan permohonan Pas Pekerjaan (Employment Pass, EP) termasuk tempoh pemprosesan yang didapati memberi kesan kepada ekosistem Perkhidmatan Perniagaan Global (Global Shared Services, GBS).
Kenyataan media Kementerian Digital hari ini memberi jaminan bahawa perkara ini sedang diteliti secara aktif dan menyeluruh.
“Sektor GBS merupakan antara pemacu utama ekonomi digital negara yang menyumbang secara signifikan kepada pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau,” kata kenyataan itu lagi.
SEDANG GIAT DILAKSANAKAN
“Sesi libat urus sedang giat dilaksanakan bersama agensi berkaitan, termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia
(MDEC), selaku agensi di bawah seliaan Kementerian Digital, serta pemain industri,” kata kenyataan itu lagi.
Pendekatan ini bertujuan memahami secara menyeluruh terhadap
kebimbangan yang dibangkitkan, di samping mengenal pasti langkah
penambahbaikan yang bersesuaian dalam jangka pendek dan jangka panjang.
MDEC telah mempergiat usaha bagi menangani peningkatan ketara dalam
jumlah permohonan baharu, termasuk menambah kapasiti sumber tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
SESI LIBAT URUS
Selain itu, MDEC turut melaksanakan sesi libat urus bersama persatuan industri utama seperti GBS Malaysia (Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia, cabang
PIKOM) dan Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) bagi
memaklumkan perkembangan semasa.
Kementerian Digital bersama MDEC akan terus memperkukuh penyelarasan antara Kementerian dan agensi berkaitan, di samping melaksanakan penambahbaikan proses secara berterusan bagi mempercepat tempoh kelulusan secara lebih lancar.
Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan semakan serta hasil sesi libat urus bersama semua pihak berkaitan. – JM
