

KUCHING, 26 Mac – Sarawak terus memperkukuh penglibatannya dalam sektor maritim menerusi penyertaan dalam Asia Pacific Maritime (APM) 2026 yang berlangsung di Singapura.
Menerusi satu kenyataan, Pavilion Sarawak yang diterajui bersama oleh Sarawak Association of Maritime Industries (SAMIN) dan Sarawak Trade & Tourism Office Singapore (STATOS) turut mengambil bahagian dalam pameran berprestij tersebut.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kesihatan Awam & Perumahan), Datuk Michael Tiang turut hadir menyempurnakan Pavilion Sarawak pada acara berkenaan.
Dalam program itu, Pavilion Sarawak mempamerkan keupayaan negeri dalam pembinaan kapal, kejuruteraan marin serta perkhidmatan luar pesisir, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di pentas maritim antarabangsa.
Acara tiga hari yang berlangsung dari 25 hingga 27 Mac itu diadakan di sebuah pusat konvensyen terkemuka di Singapura, menghimpunkan pemain industri global dan membuka peluang kepada Sarawak untuk memperluas kerjasama antarabangsa serta menarik pelaburan baharu.
Sementara itu, Presiden SAMIN, Ling Tiu Khing berkata, permintaan yang semakin meningkat terhadap pembinaan kapal baharu di pasaran global mendorong industri pembinaan kapal di Sarawak meningkatkan keupayaan.
Menurut beliau, usaha itu dilaksanakan melalui penggunaan teknologi terkini, pengukuhan kemahiran teknikal serta penambahbaikan fasiliti limbungan kapal bagi memenuhi piawaian antarabangsa.
Pavilion Sarawak turut menampilkan beberapa syarikat tempatan yang mengetengahkan kepakaran dalam reka bentuk dan pembinaan kapal, perkhidmatan sokongan luar pesisir serta penyelesaian marin.
Dalam masa sama, Sarawak turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian termasuk penggunaan teknologi hijau, inovasi serta peningkatan kecekapan operasi.
APM 2026 dijangka menarik lebih 20,000 profesional industri, 750 pempamer global dan lebih 150 penceramah pakar, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai platform utama industri maritim di rantau ini.
