
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 MAC 2026
Malaysia menegaskan sokongan terhadap kedaulatan Qatar serta mengecam serangan ke atas kemudahan LNG Ras Laffan yang kritikal kepada ekonomi global susulan pertikaian Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di FB berkata Malaysia juga sependapat bahawa semua pihak perlu meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog serta diplomasi demi kestabilan serantau.
Terdahulu Anwar telah mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna.
TERHADAP SITUASI KESELAMATAN
“Kami bertukar ucapan serta menzahirkan keprihatinan terhadap situasi keselamatan di Asia Barat yang kian meruncing,” kata Anwar.
Beliau turut merakamkan takziah atas tragedi nahas helikopter yang meragut nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Turkiye, dan menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa.
“Malaysia juga menghargai bantuan Qatar kepada rakyat Malaysia yang terjejas,” kata Perdana Menteri.
Beliau berharap semoga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, Insya-Allah. – JM
