






Oleh: Sholina Osman
21 MAC 2026
Untungnya sesiapa yang berpeluang berhari raya di Perlis.
Kebetulan pada Hari Raya Aidilfitri kali ini, buah ikon Perlis iaitu mangga Harumanis sudah mula dipetik.
Pastinya tuan rumah yang sudah memetik mangga Harumanis akan menyajikannyq kepada tetamu sebagai “hidangan istimewa”.
Bagi pengusaha Harumanis Cikgu Non iaitu Zainol Abidin Ahmad, 71 dari Kampung Simpang Geti, Mata Ayer, Arau, Perlis, sudah lumrah beliau akan menyajikan tetamu dengan mangga ini.
SUDAH BOLEH DIPETIK
Zainol memberitahu kebetulan pokok Harumanis yang diusahakan pula sudah boleh dipetik sebelum raya lagi maka beliau jadikan ia sebagai hidangan untuk tetamu.
“Yang datang dari luar Perlis pastinya rasa gembira kerana dapat menikmati keenakan Harumanis terus dari ladang saya,” kata beliau.
Lebih menarik Zainol sendiri mengupas Harumanis untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang ke rumahnya.
TETAMU RASA SERONOK
Beliau berpuas hati melihat tetamu rasa seronok apabila berpeluang menikmati Harumanis yang dilabelkan sebagai “mangga termahal di Malaysia”.
Salah seorang tetamu, Mariam Ramli, 43 dari Alor Setar melahirkan keterujaan apabila berpeluang menikmati mangga Harumanis semasa berada di Perlis.
“Siapa yang tak seronok dapat makan Harumanis percuma dan rasanya pula sangat sedap,” kata beliau.
DAPAT MENIKMATI MANGGA
Norliza Ismail, 36, dari Beruas, Perak ini mengakui puas hati dapat menikmati mangga Harumanis yang baharu dipetik.
“Kalau dah rasa Harumanis, terlupa pula hendak makan kuih raya atau ketupat yang dihidangkan,” ujar beliau.
Mohammad Hariz Zainol, 43 dari Ipoh menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang menikmati mangga Harumanis di hari raya.
Beliau berkata inilah kelebihan berhari raya di Perlis kerana mangga Harumanis telah dijadikan sebagai hidangan istimewa yang pastinya tidak terdapat di negeri lain. – JM
