PERUTUSAN MENTERI SEMPENA AIDILFITRI 2026

20 Mac 2026

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia.

Syawal datang membawa kegembiraan, tetapi dalam masa yang sama, jangan kita lupa nasib saudara kita yang sedang diuji dengan peperangan dan penindasan yang masih berterusan.

Konflik di Asia Barat bukan cerita jauh semata-mata. Kesannya sudah mula dirasai oleh dunia bila harga minyak dan gas naik, kos logistik melonjak, harga baja dan komoditi makanan dunia pun terkesan. Apa yang berlaku ribuan kilometer dari kita, boleh terasa sampai ke dapur rumah rakyat Malaysia.

Ramai penganalisis, dalam dan luar negara, menjangkakan konflik ini tidak akan selesai dalam masa singkat. Ertinya, tekanan kepada harga makanan dunia mungkin berpanjangan. Justeru saya ingin jujur dengan semua, harga dan situasi bekalan boleh berubah pada bila-bila masa.

Dalam masa yang sama, kita jangkakan lebih ramai pelancong akan datang ke negara kita kerana stabil dan aman. Itu berita baik untuk ekonomi, tetapi ia juga bermakna permintaan terhadap makanan dalam negara akan meningkat.

Namun saya mahu beri jaminan yang jelas. Sepanjang musim perayaan ini sehingga ke bulan Mei, bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terjamin.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama semua agensi berkaitan sedang memantau stok, harga dan rantaian bekalan setiap hari. Jika ada tanda-tanda gangguan, kita tidak akan tunggu lama. Kerajaan bersedia mengambil apa sahaja langkah intervensi yang perlu. Keutamaan kita mudah, bekalan makanan mesti sentiasa ada di pasaran dan rakyat mampu mengaksesnya.

Dalam keadaan begini, saya ingin menyeru semua supaya jangan lakukan pembelian panik. Jangan kerana satu dua khabar angin, kita membeli berlebihan. Belilah ikut keperluan, berbelanja secara berhemah dan elakkan pembaziran. Sokonglah juga produk tempatan.

Pada masa yang sama, kita juga perlu bersedia kerana dunia hari ini penuh ketidaktentuan. Sikap bersiap siaga bukan tanda takut, tetapi tanda kita matang dan berfikir jauh.

Saya yakin Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dengan segala kemampuan yang ada, namun rakyat juga perlu membantu dengan menyebarkan kebenaran serta menjauhi fitnah dan berita palsu.

Aidilfitri mengajar kita tentang kesederhanaan, disiplin dan kebersamaan. Dengan pengurusan yang cekap dan berstrategi serta rakyat yang matang dan tenang, insya-Allah negara kita akan terus stabil dan keterjaminan makanan akan terus terpelihara.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Ikhlas dari,
Mohamad bin Sabu
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Jumaat, 20 Mac 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *