MAIPs peruntuk RM32,400 kepada 81 orang muallaf

Oleh: Sholina Osman
20 MAC 2026

Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperuntukkan RM32,400 kepada 81 orang muallaf, dengan setiap penerima menerima bantuan kewangan sebanyak RM400 bagi meringankan beban dan menyokong keperluan harian mereka.

Golongan saudara baru yang menerima bantuan ini adalah terdiri dari kalangan mereka memeluk Islam dan berdaftar di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-31/2017.

Majlis Penyerahan Bantuan Muallaf Tahun 2026 yang berlangsung di Masjid Al-A’la, Behor Temak, Kangar ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Menyambut keberangkatan Baginda berdua ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JAIPs, Maizura Shamsuddin.

DARIPADA USAHA BERTERUSAN

Majlis berkenaan dianjurkan oleh MAIPs dengan kerjasama Yayasan Muallaf Malaysia (YMM) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kebajikan serta pembangunan komuniti muallaf di negeri ini.

Bagi tahun 2026, MAIPs terus komited menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan muallaf dan asnaf, termasuk bantuan fitrah, program bimbingan berterusan, serta inisiatif pembangunan sosioekonomi yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup dan daya tahan komuniti berkenaan.

Seiring dengan aspirasi membina masyarakat Islam yang inklusif dan berdaya tahan, usaha bersepadu ini diharapkan bukan sahaja dapat memperkukuh keimanan golongan muallaf, malah membina keyakinan diri mereka untuk berdikari serta menyumbang secara positif kepada pembangunan ummah dan kesejahteraan negeri Perlis secara keseluruhannya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *