KPDN rampas 468 helai baju, seluar jenawah mewah tiruan di sebuah premis di Petaling Jaya

Oleh: Sholina Osman
14 MAC 2026

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 468 helai baju dan seluar jenama mewah yang disyaki tiruan di sebuah premis di Petaling Jaya, Selangor

Ketua Pengarah Penguat Kuasa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Azman Adam berkata baju dan seluar pelbagai jenama mewah ini seperti Lacoste, Hugo Boss, Gucci, Balenciaga dan Louis Vuitton yang disyaki menggunakan cap dagangan
berdaftar secara salah tanpa kebenaran pemilik cap dagangan yang sah.

Beliau berkata orang yang disyaki dipercayai menjalankan aktiviti penjualan pakaian tiruan di pusat beli-belah terkenal dengan menawarkan potongan harga (diskaun).

DIJUAL PADA HARGA

“Produk berjenama tersebut didakwa asli dan dijual pada harga antara RM450 hingga RM1,500 sehelai,” kata Azman dalam kenyataan media.

Beliau berkata cara ini dipercayai bertujuan untuk menarik pengguna membeli barangan tiruan yang menyalahi undang-undang.

Sehubungan itu, katanya pihak KPDN telah bertindak menyita pelbagai pakaian yang disyaki tiruan termasuk baju dan seluar yang ditemui di beberapa lot stor penyimpanan di premis tersebut.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pakaian yang dirampas 468 helai.

BUKU RESIT JUALAN

Azman berkata turut disita adalah ialah beberapa dokumen berkaitan seperti buku resit jualan, kod QR jualan serta rekod penyata stok barangan.

“Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM292,800.00,” kata beliau.

Azman berkata Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan E5 Bukit Aman serta wakil pemilik cap dagangan telah melaksanakan satu operasi pemeriksaan dan serbuan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] pada 11 Mac 2026 ke atas premis berkenaan yang disyaki menyimpan pakaian pelbagai jenama yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran.

HASIL MAKLUMAT RISIKAN

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat risikan berhubung aktiviti
penyimpanan dan pengedaran pakaian pelbagai jenama yang disyaki tiruan,” tambah beliau.

Jelas beliau hasil pemeriksaan mendapati beberapa unit stor penyimpanan di premis tersebut digunakan untuk menyimpan pelbagai pakaian berjenama yang disyaki tiruan dan dipercayai untuk tujuan pengedaran serta penjualan kepada pengguna. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *