
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 MAC 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi bagi menzahirkan simpati dan solidariti Malaysia terhadap rakyat Iran dalam menghadapi saat yang amat sukar ketika ini.
Anwar semasa dalam perbualan telefon tersebut, turut menyampaikan ucapan takziah di atas nyawa rakyat Iran yang terkorban, termasuk Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei serta 165 orang pelajar sekolah akibat serangan rejim Israel bersama Amerika Syarikat di Tehran baru-baru ini.
Beliau berkata Malaysia turut menegaskan pendirian tegas terhadap sebarang tindakan ketenteraan yang mencabuli kedaulatan sesebuah negara, di samping menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap implikasi konflik yang berpanjangan terhadap keamanan, kestabilan dan kesejahteraan global.
“Perbincangan juga menyentuh keperluan mendesak untuk meredakan ketegangan, memperkukuh usaha diplomasi serta mencari jalan damai bagi menamatkan konflik yang sedang melanda rantau tersebut, termasuk isu Palestin yang terus menuntut perhatian masyarakat antarabangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB. – JM
