Tindakan pantas NSRC selamatkan lebih RM34 juta jatuh ke tangan sindiket 2025 – KDN

Oleh: Sholina Osman
3 MAC 2026

Hasil tindakan pantas Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sejumlah RM34,051,357.68 telah berjaya diselamatkan daripada jatuh ke tangan sindiket pada tahun 2025.

Kenyataan media Kementerian Dalam
Negeri (KDN) memaklum di sepanjang tahun lalu jugq NSRC telah merekodkan pencapaian signifikan dalam usaha melindungi kepentingan mangsa penipuan kewangan dalam talian dengan mengendalikan sebanyak 146,167 panggilan aduan serta melaksanakan tindakan pembekuan terhadap 138,915 akaun yang terlibat.

Selain itu, NSRC turut mencatat lonjakan ketara dalam aspek pemulangan dana kepada mangsa melalui proses earmarking, iaitu daripada RM508,479.39 pada tahun 2024 kepada RM6,649,171.03 pada tahun 2025.

Sehingga Januari 2026, momentum prestasi ini terus dikekalkan apabila sebanyak RM1,443,533.40 lagi berjaya disita melalui tindakan pembekuan awal.

KESELAMATAN WANG RAKYAT

Kerajaan MADANI kekal komited melalui pendekatan whole-of-government bagi memastikan keselamatan kewangan rakyat sentiasa terpelihara serta memastikan ekosistem digital negara terus berdaya tahan daripada ancaman jenayah siber.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan NSRC di Menara 2 MCMC, Cyberjaya sebagai bukti komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membanteras jenayah siber melalui pengukuhan pengoperasian pusat tersebut yang kini berfungsi sepenuhnya sebagai pusat respons kebangsaan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya ini telah memulakan operasinya pada 7 Oktober 2022.

Ia diterajui oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama anggota kerja operasi yang merangkumi Bank Negara Malaysia (BNM), MCMC serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *