



Putrajaya, 26 Februari β Yayasan Prihatin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan kebajikan warga atau ahlinya terus terjaga.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datoβ Sri Haji Azam Baki berkata, sokongan kebajikan yang holistik tidak seharusnya terhad kepada bantuan kewangan semata-mata tetapi harus diperluaskan kepada aspek sokongan lain.
βKebajikan warga kerja khususnya ahli Yayasan Prihatin perlu diperluaskan kepada aspek pembangunan keluarga, khususnya insentif kecemerlangan akademik buat anak-anak warga SPRM sebagai galakan berterusan dalam melahirkan modal insan berkualiti,β katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Prihatin SPRM kali ke-8 dan peluncuran Portal Yayasan Prihatin di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM, di sini semalam.
Beliau berkata, peranan yayasan ketika ini menjadi pelengkap kepada usaha jabatan dalam memastikan tiada warga SPRM yang terpinggir apabila berhadapan dengan kesukaran.
Justeru, Tan Sri Azam turut menyeru Yayasan Prihatin untuk menganjurkan inisiatif pengurusan psikologi bagi membantu warga kerja mendepani tekanan tugas, risiko keselamatan serta cabaran mental yang menuntut keteguhan moral dan profesionalisme tinggi.
Menyentuh mengenai prestasi kewangan, yayasan ini dengan keahlian kira-kira lebih 2,000 ahli, mencatatkan pertumbuhan dana yang membanggakan sejak ditubuhkan pada 2017 dengan dana permulaan RM1 juta dan kini merekodkan dana terkumpul berjumlah RM5 juta setakat Disember 2025.
Beliau berkata, pertumbuhan dana itu dijana melalui pelbagai aktiviti strategik termasuk pelaburan mampan dan disasarkan meningkat kepada kira-kira RM2 juta pada tahun ini sekali gus memberi manfaat kepada ahli.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut mengumumkan pemberian saguhati kepada ahli-ahli yayasan yang masih aktif sempena sambutan Hari Raya yang bakal tiba dan sumbangan kepada Unit Kebajikan SPRM.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Prihatin SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar dalam ucapan aluannya berkata, yayasan sentiasa menyokong usaha dilaksanakan SPRM khususnya membabitkan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
Beliau berkata, peluncuran portal Yayasan Prihatin merupakan salah satu inisiatif kebajikan bagi memudahkan urusan permohonan bantuan secara dalam talian serta pengemaskinian profil keahlian secara digital.
Mesyuarat yang dihadiri seramai 360 ahli telah sebulat suara mengekalkan kepimpinan sedia ada bagi sesi 2026/2027. Kepimpinan ini turut diperkukuh dengan pelantikan lima Ahli Jawatankuasa Baru iaitu PKPj Mohd Fadzil Md Amin, P/PPj Muhammad Hilmi Juhari, P/PPj Zatun Najmiah Mohd Sabri, PsK Harussani Hamzah dan PkPs Nurβ Azim Afni.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM merangkap Penasihat Yayasan Prihatin SPRM, Dato’ Indera Junipah Wandi.
