KERAJAAN SARAWAK KOMITED TUNAI JANJI

KUCHING, 25 FEB – Kerajaan Sarawak akan terus komited menunaikan janji demi kemakmuran seluruh rakyat di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan beracuankan acuan sendiri, kestabilan politik dan kecekapan kepimpinan.

Beliau berkata, ini termasuk melaksanakan projek infrastruktur dan pembangunan seperti yang dibuktikan menerusi beberapa projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang.

Katanya, kerajaan mahu memastikan Sarawak terus stabil dan maju menjelang 2030.

“Untuk itu, kerajaan akan memastikan semua projek kecil luar bandar dan pembangunan infrastruktur disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.

“Sebagai negeri yang termaju di negara ini, Sarawak akan terus meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan pedalaman,” katanya selepas menyaksikan penyerahan dua surat perjanjian kontrak pembinaan projek kecil luar bandar (MRP) bagi membina tebing parit untuk mengelakkan hakisan, bernilai lebih RM62,000 di Kampung Haji Baki, Blok C, di sini, hari ini.

Upacara penyerahan dua surat perjanjian kontrak MRP itu disempurnakan oleh Penolong Jurutera Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Mohd Aizat Wahab.

Projek MRP pertama melibatkan pembinaan tebingan parit sepanjang 14 meter bagi mengelakkan hakisan tanah dengan kos kira-kira RM36,000.

Manakala projek kedua ialah pembinaan tebingan parit sepanjang 11 meter bagi mengelakkan hakisan, menelan kos kira-kira RM26,350.

Kedua-dua projek itu dijadualkan siap dalam tempoh dua bulan bermula Isnin, 23 Februari.
Turut hadir Ketua Kaum Kampung Haji Baki Blok C, Rosli Ahmad Darus.

-HADI-

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *