



Oleh: Sholina Osman
24 FEB. 2026
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis menyita 9,400 unit peranti vape yang dianggarkan bernilai RM454,000.00 dengan melibatkan duti/cukai sebanyak RM95,340.00.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata alat peranti vape pelbagai perisa itu ditemui di kawasan perairan Kurung Tengar, Kuala Perlis ini disyaki cuba di diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.
“Ini kes pertama yang kita kesan cubaa seludup vape menggunakan jalan laut yang dianggap selamat tetapi sebenarnya pihak berkuasa sentiasa mengawasi perairan dari sebarang kegiatan jenayah,” kata Ismail di sidang media di Pangkalan Marin Kastam di Kuala Perlis hari ini.
Ismail berkata bertindak atas maklumat, pada 6 Februari 2026, pukul lebih kurang 1.30 pagi, pasukan operasi dari Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis telah mengejar sebuah sampan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Kurung Tengar, Kuala Perlis.
BERTINDAK MEMECUT LAJU
“Sampan tersebut kemudiannya bertindak memecut laju ke kawasan perairan cetek sebelum berhenti dan kelihatan beberapa orang lelaki telah melarikan diri ke arah daratan dengan meninggalkan sampan berkenaan,” jelas Ismail.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas sampan berkenaan telah menemui beberapa bungkusan kotak mengandungi peranti vape pelbagai perisa yang disyaki untuk diseludup ke negara jiran.
“Kesemua peranti vape yang telah disita berjumlah 9,400 unit dan dianggarkan bernilai RM454,000.00 serta melibatkan duti/cukai sebanyak RM95,340.00,” kata Ismail.
SAMPAN BERSAMA ENJIN
Beliau berkata turut disita adalah sampan bersama enjin yang dianggarkan bernilai RM50,000.00.
Ismail berkata kes ini masih dalam siasatan di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau lima puluh ribu ringgit (RM50,000.00), amaun mana yang lebih besar, dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau lima ratus ribu ringgit (RM500,000.00), amaun mana yang lebih besar atau penjara bagi tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.
MEMBANTU PIHAK JKDM
Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Kerjasama daripada orang ramai amat diharapkan agar kita bersama-sama dapat membanteras kegiatan penyeludupan. – JM
