Individu muat naik kandungan jelik terhadap kerabat Diraja Terengganu disiasat – MCMC

Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.

Kenyataan media MCMC memaklumkan kandungan tersebut didapati menyentuh sensitiviti Institusi Diraja (3R – Race, Religion and Royalty) serta mengandungi unsur penghinaan dan ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.

Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari 2026.

SATU UNIT TELEFON

Dalam sesi tersebut, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik digital.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Diraja.

Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.

Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *