116 BAZAR RAMADAN RAHMAH SELURUH NEGARA, 11 DI SARAWAK — MIRI TUAN RUMAH PELANCARAN ZON

MIRI, 21 Feb — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan 116 Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara tahun ini, meningkat berbanding 80 pada 2023 dan 103 pada 2024.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan, Syarikat dan Jualan Langsung KPDN, Dato’ Rohaizi Bahari, mewakili Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, berkata bagi Sarawak sebanyak 11 lokasi disasarkan, dengan pelancaran peringkat negeri diadakan di Parlimen Miri, Permyjaya.

Menurutnya, bazar di Permyjaya melibatkan kira-kira 80 peniaga, dengan 15 daripadanya menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah mendapatkan juadah berbuka puasa pada harga mampu milik.

“Walaupun berdepan kenaikan harga barang, kita menghargai komitmen peniaga yang terus bersama KPDN menyediakan Menu Rahmah demi kebajikan rakyat,” katanya pada sidang media selepas Program Bazar Ramadan Rahmah Zon Sarawak di Permyjaya, hari ini.

Beliau turut memaklumkan kerajaan menitikberatkan pengurangan pembaziran makanan melalui pelaksanaan Ihsan Food Bank (i-FB), iaitu transformasi inisiatif MySaveFood, berteraskan konsep 3S: Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.

Bagi memastikan pematuhan peraturan perdagangan, KPDN melaksanakan pemantauan berkala termasuk melalui OPS PANTAU 2026 yang memfokuskan pematuhan tanda harga dan amalan perniagaan beretika agar harga kekal munasabah sepanjang Ramadan.

Program ini turut melibatkan kerjasama strategik antara KPDN dan NGO dalam usaha penyelamatan makanan. Di peringkat nasional, lebih 80 institusi pengajian tinggi awam dan swasta terlibat, manakala di Sarawak sembilan kumpulan siswa membantu mengumpul, menimbang, membungkus dan mengagihkan lebihan makanan kepada golongan memerlukan.

Tahun lalu, lebih tiga tan makanan berjaya diselamatkan dan diagihkan kepada penerima layak.

Sehubungan itu, orang ramai digesa terus menyokong peniaga tempatan serta menjadikan Bazar Ramadan Rahmah sebagai pilihan utama sepanjang Ramadan.

Catherine

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *