Program SASM: MAIPs, JAIPs, MATRI meterai kerjasama perkasa pendidikan Islam

Oleh: Sholina Osman
13 FEB. 202

Pendidikan Islam di negeri Perlis terus diperkasakan menerusi jalinan kerjasama strategik melibatkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Maahad At-Tarbiyah Al-Islamiyyah (MATRI) melalui pemeteraian perjanjian menjayakan Program Sekolah Agama Seliaan Majlis (SASM) yang bertujuan melonjakkan kualiti pendidikan agama di negeri ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyaksikan sesi menandatangani perjanjian tersebut di Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Perlis baru-baru ini.

Inisiatif berkenaan menzahirkan komitmen ketiga-tiga pihak untuk memastikan MATRI terus relevan sebagai institusi pendidikan Islam yang unggul.

Dalam majlis berkenaan, MAIPs diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor, manakala JAIPs diwakili oleh Pengarahnya, Maizura Shamsuddin. Pemeteraian bagi pihak MATRI pula disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Sharihan Shahidan.

Hadir sama menyaksikan detik bersejarah itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, dan Naib Presiden 3 Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan (HALUAN Malaysia), Sr. Baderol Allam Awang.

TEMPOH LIMA TAHUN

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, kerjasama ini dirangka untuk tempoh lima tahun dengan mekanisme pembaharuan secara tahunan.

“Penilaian pembaharuan tersebut akan dibuat berdasarkan pencapaian hala tuju SASM yang telah dipersetujui bersama, sekali gus memastikan setiap sasaran yang ditetapkan berada di landasan yang tepat. Langkah ini juga dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam memantau perkembangan institusi secara berkala dan dinamik,” terang Mohd Nazim.

Beliau turut menjelaskan bahawa hasrat kerjasama ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja besar dalam melaksanakan Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026 hingga 2030. Matlamat utama pelan tersebut adalah untuk memacu peningkatan prestasi kecemerlangan akademik, memperkukuh pemantauan sahsiah pelajar, serta memantapkan sistem pengurusan MATRI.

Dengan adanya seliaan yang lebih tersusun di bawah MAIPs melalui JAIPs, MATRI dijangka mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang ilmu, malah mempunyai sahsiah yang tinggi.

Pemeteraian ini secara tidak langsung memperlihatkan kesungguhan MAIPs dan JAIPs dalam memayungi institusi pendidikan swasta di Perlis untuk bergerak seiring dengan visi negeri. Melalui penyelarasan di bawah program SASM, aspek tadbir urus dan kualiti pengajaran dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih profesional dan kompetitif bagi mendepani cabaran pendidikan masa kini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *