




Wartawan JM
12 FEB. 2026
Program UNIREADY 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) merupakan satu usaha besar dalam membina keyakinan, memperkasa potensi, dan menyemai impian anak-anak agar berani melakar masa depan yang lebih gemilang.
Sehubungan itu kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail program ini bukan sekadar persediaan melangkah ke alam universiti.
Beliau berkata program UNIREADY2026 @ UNITEN ini merupakan platform khas untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan graduan diploma, bagi memberikan pendedahan awal kepada landskap pengajian tinggi di UNITEN.
SYABAS DAN TAHNIAH
“Setinggi-tinggi ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada UNITEN, pihak penganjur dan semua rakan kerjasama yang telah menjayakan program ini,” kata beliau dalam perkongsian di FB.
Terdahulu Dr Wan Azizah hadir ke Majlis Perasmian UNIREADY 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di UNITEN.
Hadir sama Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin; Naib Canselor UNITEN Prof Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Faizal Iqram Ibeni Yanin serta Pengurus Besar Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak Saifulizan Haron. – JM
