


Putrajaya, 10 Februari β Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diseru agar sentiasa berani dan radikal dalam melaksanakan tugas, serta berupaya menterjemahkan kefahaman dasar kepada tindakan yang berkesan di lapangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Datoβ Sri Haji Azam Baki berkata, pendekatan ini penting bagi memastikan sektor pencegahan bergerak seiring dan saling melengkapi dengan sektor penguatkuasaan dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh serta berimpak tinggi.
Menurutnya, antara contoh terkini keberanian SPRM iaitu bersuara dan bertindak tegas melalui kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM berhubung cadangan mengehadkan kuasa Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang telah mendapat perhatian meluas media baru-baru ini.
βIni membuktikan SPRM bukan sahaja berperanan menjalankan siasatan, malah berani mengemukakan pandangan serta cadangan penambahbaikan demi memperkukuh tadbir urus dan integriti negara,β katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengarah-Pengarah SPRM Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam menegaskan setiap pegawai SPRM perlu sentiasa bersedia mewakili organisasi sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, bukan sahaja daripada segi penampilan dan komunikasi, tetapi juga merangkumi pengetahuan, keyakinan serta keupayaan membawa imej dan suara SPRM dengan penuh wibawa.
βPenguasaan Bahasa Inggeris perlu dikuasai dengan baik dan disokong oleh pengetahuan kukuh dalam bidang tugas masing-masing, supaya pegawai mampu berkomunikasi, menulis dan bertindak dengan yakin serta berautoriti,β katanya.
Tan Sri Azam turut mengingatkan semua Pengarah dan penyelia agar sentiasa proaktif memantau tingkah laku pegawai di bawah seliaan masing-masing, peka terhadap tanda-tanda awal permasalahan, serta berperanan sebagai pembimbing melalui nasihat dan teguran yang berhemah.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang salah laku perlu ditangani lebih awal oleh pihak pengurusan, dan kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan integriti SPRM.
Isu disiplin, katanya, tidak seharusnya dibiarkan berlarutan menjadi serius atau tular, sebaliknya perlu ditangani secara proaktif dan berperingkat bagi memastikan tahap integriti SPRM sentiasa terpelihara.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengarah-Pengarah Kanan Bahagian, Pengarah-Pengarah Bahagian serta Pengarah-Pengarah SPRM Negeri.
