PMX adakan pertemuan empat mata dengan PM India

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 FEB. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi di Kompleks Seri Perdana, di Putraya pada 8 Februari.

Anwar berkata beliau bersama Modi mengadakan pertemuan empat mata selama hampir satu jam sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang berlangsung dalam suasana mesra, terbuka serta konstruktif.

Beliau berkata perbincangan ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama strategik merangkumi pelbagai bidang utama, termasuk tenaga, semikonduktor, pendigitalan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, agrikultur, tenaga kerja, pelancongan, kesalinghubungan serta pendidikan

ISU-ISU SERANTAU

“Turut dibincangkan ialah isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama kepada kedua-dua negara,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Jelas Anwar lawatan ini bukan sahaja memperkukuh jalinan persahabatan antara Malaysia dan India, malah membuka lembaran baharu kerjasama yang lebih erat dan bermakna demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat kedua-dua negara.

Antara menteri Kabinet yang hadir ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Hadir sama ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan selaku menteri pengiring, serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *