




Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 FEB. 2026
Selamat datang ke Malaysia Modi Ji!
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ketibaan Perdana Menteri India, Narendra Modi di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
PM Modi turut dipertontonkan dengan persembahan kebudayaan yang menampilkan keindahan warisan seni dan kepelbagaian budaya Malaysia.
“Usai di KLIA, kami terus ke Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) bagi sesi ramah mesra bersama komuniti India, satu detik bermakna yang mencerminkan hubungan erat berteraskan sejarah, kepercayaan dan aspirasi bersama,” kongsi PM dalam FB beliau.
Sementara itu dalam kenyataan media Wisma Putra memaklumkan Modi mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 7 hingga 8 Februari 2026 atas jemputan Anwar.
MERUPAKAN LAWATAN BALAS
Lawatan ini merupakan lawatan balas susulan lawatan rasmi Anwar ke India pada Ogos 2024.
Modi diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar Dr. S. Jaishankar, Menteri Hal Ehwal Luar dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Pada 8 Februari 2026, Modi akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala dengan Anwar di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya.
HUBUNGAN DUA HALA
Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan isu-isu hubungan dua hala serta mempelopori peluang kerjasama antara Malaysia dan India, khususnya dalam sektor perdagangan dan pelaburan; pertahanan dan keselamatan; tenaga kerja; pelancongan; kesalinghubungan; pertanian; dan pendidikan. Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua Perdana Menteri akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pembanterasan dan pencegahan rasuah; pengurusan bencana; Perjanjian mengenai penerbitan audio visual; Memorandum Kerjasama (MoC) dalam bidang tenaga kerja; Pertukaran Nota (EoN) dalam bidang semikonduktor; kesihatan; keselamatan negara; dan pendidikan serta lathan teknikal dan vokasional (TVET), Pertukaran Surat (EoL) mengenai kerjasama pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan penyerahan Perjanjian Rangka Kerja International Big Cats Alliance (IBCA).
BAGI MERAIKAN MODI
Anwar juga akan menghoskan jamuan makan tengah hari rasmi bagi meraikan Modi.
Pada 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan India mencapai RM79.49 bilion (USD18.59 bilion).
Jumlah eksport Malaysia ke India berjumlah RM52.30 bilion (USD12.24 bilion) manakala import berjumlah
RM27.19 bilion (USD6.35 bilion).
Barangan eksport utama merangkumi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan sawit; dan produk elektrikal dan elektronik; manakala import dari India terdiri daripada produk pertanian; produk petroleum; dan produk kimia.
RAKAN DAGANG TERBESAR
India merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia di rantau Asia Selatan.
Lawatan ini dijangka memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memupuk kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama, berteraskan asas persahabatan yang kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1957, dan peningkatan hubungan dua hala yang telah dinaik tara ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Stategic Partnership – CSP) pada Ogos 2024. – JM
