Mohamad rasmi Program Semarak Ramadan MADANI 1447H Peringkat Kebangsaan

Wartawan JM
8 FEB. 2026

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, merasmikan Program Semarak Ramadan MADANI 1447H Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pasar Tani Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, semalam.

Program ini diadakan sebagai simbolik pelancaran inisiatif jualan Ramadan di bawah platform Pasar Tani di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam hantaran di FB memaklumkan penganjuran program ini bersempena ketibaan bulan Ramadan, di samping membantu rakyat membuat persediaan awal bagi mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga yang berpatutan.

PELBAGAI TAWARAN ISTIMEWA

Pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran istimewa, termasuk Jualan Kombo Agro MADANI, Jualan Happy Hour serta edaran kurma secara percuma.

Melalui pelaksanaan program ini, usahawan Pasar Tani berpeluang meningkatkan hasil jualan dan daya saing, sekali gus memperkukuh peranan Pasar Tani sebagai pusat bekalan utama keperluan harian.

Dalam masa yang sama, pengguna dapat menikmati harga yang lebih berpatutan sepanjang bulan Ramadan.

Pelaksanaan program ini selari dengan Hala Tuju KPKM 2026 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keterjaminan makanan negara, pemodenan rantaian bekalan, pendigitalan pemasaran agro serta peningkatan pendapatan pengeluar tempatan.

TURUT MENDUKUNG ASPIRASI

Selain itu, inisiatif ini turut mendukung aspirasi Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) yang menekankan kepentingan memastikan bekalan makanan mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat melalui sistem rantaian bekalan yang berdaya tahan.

Kementerian menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus memperluas pelaksanaan program intervensi pasaran seperti ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping memperkukuh sekuriti makanan negara secara menyeluruh.

Program Semarak Ramadan MADANI 1447H menyasarkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM50 juta melibatkan 680 lokasi di seluruh negara.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli, Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri serta pegawai kanan KPKM dan jabatan serta agensi berkaitan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *