


KUCHING, 6 Feb β Statistik kebakaran di Sarawak menunjukkan peningkatan ketara kerugian harta benda, apabila mencatatkan lonjakan daripada RM118.52 juta pada tahun 2023 kepada RM317.51 juta pada tahun 2025.
Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, statistik itu membuktikan keperluan mendesak, bagi memperkukuh langkah pencegahan dan kesedaran keselamatan dalam kalangan masyarakat menerusi pelbagai program.
Ini termasuk Program Komuniti Prihatin, Kediaman Selamat Bersama Bomba Sarawak 2026 Peringkat Zon Kuching, sebagai inisiatif memperkasakan keselamatan kebakaran bermula dari peringkat komuniti, serta mengukuhkan hubungan strategik antara JBPM dan masyarakat setempat.
Ujarnya, program tersebut menyasarkan penduduk kawasan perumahan, kampung, rumah panjang serta pemilik premis perniagaan kecil, bagi meningkatkan tahap pencegahan kebakaran dan kesiapsiagaan komuniti, selaras dengan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara serta aspirasi Malaysia MADANI.
Antara pengisian program termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak, penyampaian Sijil Penghargaan HERO BOMBA kepada orang awam yang membantu memadam kebakaran, penyerahan sijil kepada penyumbang, premis patuh kebombaan, rakan kolaborasi serta Pasukan Teman Pili Bomba.
Jamri juga memaklumkan bahawa penubuhan Pasukan Bomba Komuniti di Sarawak telah meningkat kepada 101 pasukan, dengan lebih 5,400 program kesedaran keselamatan kebakaran berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2025, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan JBPM Sarawak melahirkan komuniti yang lebih berdaya tahan dan peka terhadap aspek keselamatan.
Wartawan: Firdaus
Gambar: Firdaus
