




PUTRAJAYA, 5 Februari β SPRM bersama Asian Institute of Insurance (AII) meneruskan usaha sama strategik pembudayaan antirasuah dalam pemantapan tatakelola organisasi komersial bersama industri insurans.
Program ini merupakan inisiatif AII dalam menghimpunkan pemain-pemain utama industri insurans bagi memperkasakan kefahaman terhadap integriti, tadbir urus dan pematuhan perundangan berkaitan pencegahan rasuah. Seramai 60 orang peserta daripada 11 syarikat insurans utama di Malaysia telah menyertai program yang diadakan di Auditorium Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Antara syarikat insurans yang terlibat ialah Prudential BSN Takaful, Tokio Marine Insurance (M) Berhad, Brighton Management Limited, Malaysian Life Reinsurance Group Berhad, Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, AIA Berhad, Persatuan Insurans Am Malaysia, AON Insurance Brokers (M) Sdn Bhd, Progressive Insurance Berhad dan MCIS Insurance Berhad.
Dalam ucapan penghargaan, PKPj Westmoreland anak Ajom, Ketua Cawangan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, merakamkan ucapan terima kasih kepada AII atas usaha menghimpunkan pemain industri serta kepada semua peserta atas komitmen yang ditunjukkan. Beliau turut menegaskan usaha membanteras rasuah merupakan tanggungjawab bersama.
Seterusnya, para peserta mengikuti sesi perkongsian yang disampaikan oleh PsK Sivarasan a/l Baby Kalidawson berkaitan topik Kesalahan Utama Jenayah Rasuah dan Liabiliti Korporat Seksyen 17A Akta SPRM 2009. Perkongsian kedua telah disampaikan oleh Ps Thilak a/l Munusamy berkenaan topik βWitness vs Whistleblowerβ, yang menjelaskan perbezaan antara perlindungan saksi dan pemberi maklumat serta ketetapan perundangan di bawah Akta Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi. Turut dikongsikan ialah inisiatif National Anti-Corruption Strategy (NACS) 2024-2028 dan insentif potongan cukai sebagai galakan kepada sektor korporat dalam memperkukuh agenda integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah.
Bagi melengkapkan program ini, para peserta turut dibawa melawat fasiliti Ibu Pejabat SPRM termasuk Konti Radio MACC.fm, Mess Pegawai, Gimnasium, Padang Kayangan Aras 7, Ruang Pameran PenMas dan Sky Bridge.
Delegasi AII telah diketuai oleh Patricia Ong Liu Chee bersama Denzel Chew Hock Teong, Noor Azean binti Mohamed Arifin dan Ashraff bin Mohd Rasol.
