


Putrajaya, 4 Februari – Pengimportan sisa elektronik (e-waste) akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 berkuatkuasa 4 Februari 2026.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bil. 2/2026, selaras usaha memperketatkan kawalan kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, keputusan itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan.
“E-Waste tidak lagi dibenarkan dan perlu buat penguatkuasaan tegas membabitkan semua agensi.
“Justeru, Jabatan Alam Sekitar (JAS) diarah untuk mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meletakkan E-Waste di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam,” katanya dalam mesyuarat yang diterajui oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Sebelum ini, E-Waste disenaraikan di bawah ‘Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara Yang Diperuntukkan’ di bawah Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 di mana Ketua Pengarah JAS masih mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian terhadap pengimportan sisa terlarang tertakluk kepada syarat tertentu. Perkara ini turut dinyatakan di dalam peruntukan Seksyen 34(B) Akta Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
JAWATANKUASA KHAS
Sementara itu, mesyuarat turut memutuskan supaya penyelarasan dan penguatkuasaan berkaitan E-Waste diperkukuhkan melalui penubuhan jawatankuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, dalam masa terdekat.
TEMPOH SEMINGGU
Hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan perlu dilaporkan kepada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan E-Waste lebih sistematik dan berkesan.
Dalam pada itu, mesyuarat turut membincangkan cadangan pelaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap pengimportan sisa plastik, selaras dengan perbincangan dan arahan bersama Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Walau bagaimanapun, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) perlu mengemukakan data terperinci untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri mengenai sumbangan sektor berkenaan kepada ekonomi dan pendapatan negara serta keperluan industri bagi menilai kesesuaian pelaksanaan moratorium itu.
Turut hadir Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram Polis Diraja Malaysia, Datuk Fazlisyam Abd Majid; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang; Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan dan Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam SPRM, KPKPj Sudirman Aban.
Hadir sama wakil-wakil daripada pejabat KSN, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) serta AKPS.
