






Oleh: Sholina Osman
4 FEB. 2026
Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menganjurkan Program Konvoi Gemilang 60 Tahun MARA dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersempena sambutan ulang tahun ke-60 penubuhannya, bertujuan menyantuni golongan asnaf serta meraikan kejayaan usahawan MARA di seluruh negeri Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang berkenan mengetuai konvoi, diiringi anakanda puteri kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir sama, barisan pengurusan tertinggi MARA, antaranya Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah MARA, Zahari Aziz, serta Pengarah MARA Negeri Perlis, Mohd Azam Jamaluddin.
PELBAGAI BENTUK BANTUAN
Sempena penganjuran program ini, MARA telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf, termasuk bantuan persekolahan kepada 30 orang pelajar asnaf, sumbangan tunai kepada pelajar asnaf yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, serta sumbangan tunai kepada lima orang anak angkat Rural Capital Berhad (RCB).
Selain itu, bantuan kewangan, kotak makanan dan bantuan pembaikan rumah turut disampaikan kepada keluarga asnaf terpilih, dengan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM20,000.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Mohd Shahrizul Amri Ali, 30, dari Kampung Titi Serong, Hiezez Zakaria, 35, dari Kampung Padang Besar Selatan, dan Sahibollah Bahari, 43, dari Kampung Bahagia Seberang Tok Pi.
DUA HENTIAN USAHAWAN
Program konvoi ini turut singgah di dua hentian usahawan MARA yang berjaya mencatat pencapaian membanggakan hasil bimbingan dan sokongan berterusan MARA, iaitu inap desa The Mamawan Stay di Jalan Padang Besar, Kuala Perlis serta Pusat Servis dan Pembaikan Kenderaan Haquetta Sdn. Bhd. di Lot 27, Kawasan Perindustrian Kuala Perlis.
Selain itu, konvoi ini turut melibatkan penyertaan subsidiari MARA iaitu Rural Capital Berhad (RCB) dan Yayasan Pelajaran MARA, sekali gus mencerminkan sinergi kukuh pelbagai pihak dalam menjayakan agenda pembangunan keusahawanan serta memperkukuh kesejahteraan masyarakat di negeri Perlis. – JM
