
KUCHING, 2 Feb – Seramai 2,000 pengunjung dijangka hadir memeriahkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Kali Ke-65 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Serian selama empat hari bermula Rabu (4 feb) ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, JAIS Ustaz Mual Suaud berkata persiapan kini berjalan lancar dengan menghimpunkan qari, qariah dan para huffaz terbaik dari seluruh Sarawak.
“Alhamdulillah sepanjang majlis ini diadakan dari segi bacaan peserta tahun ini memang agak meningkat, itu yang kita harapkan lah supaya ini akan memberi semangat kepada masyarakat lain untuk turut serta nanti,” Katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran tahun ini bertemakan ‘Ummah Maju dan Makmur, Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam’, sejajar usaha negeri menuju status negeri maju menjelang 2030, dan menekankan tanggungjawab ummah melalui keilmuan tinggi.
Beliau berkata demikian kepada RTM, selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Sarawak di Konti SARAWAKfm RTM Kuching, hari ini. Hadir sama, Residen Bahagian Serian, Caroline Joseph.
Dedahnya lagi, Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Rabu ini.
Dijangka Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menghadiri majlis penutupan dan penyampaian hadiah pada Sabtu, 7 Februari.
DEBBIE AMANDA
