MPPN sokong KPDN rangka peraturan baharu kuatkuasa larang kenderaan asing beli RON95

Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2026

Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen-stesen minyak.

Pengerusinya Mohd Khair Ngadiron berkata pihaknya berpandangan bahawa usaha ini adalah satu langkah penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang diperuntukkan Kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

“MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata,” kata beliau dalam kenyataan media.

LANGKAH YANG WAJAR

Sehubungan itu, kata beliau cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi.

MPPN menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam; penyalahgunaan oleh pihak tidak layak; serta beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.

Mohd Khair berkata langkah ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.

HAL EHWAL PENGGUNA

“Sebagai badan penasihat utama kepada Kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang
melindungi hak pengguna tempatan;
memperkukuh tadbir urus subsidi dan
meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan,” jelas beliau.

Sehubungan itu kata beliau MPPN turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *