


MIRI, 28 Jan — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri berjaya merampas sebuah bot fiber yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyeludupan rokok putih dan minuman keras tidak bercukai dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Lawas, awal pagi baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, rampasan dilakukan kira-kira pukul 1.40 pagi hasil rondaan rutin Op PERMAI dan Op TIRIS 3.0.
Menurutnya, bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran dan tanpa kru itu dikesan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Kuala Lawas sebelum diperiksa.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 100 karton minuman keras dan 475 karton rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan media.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyeludup masuk barang larangan tanpa cukai.
Tambah beliau, keseluruhan rampasan bernilai hampir RM250,000 telah dibawa ke Kompleks Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus mempertingkat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah maritim demi keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
NORIZA
Kredit Foto: Maritim Malaysia
