PEMERKASAAN WANITA: ASPEK PENDAPATAN, KEPIMPINAN DAN KESIHATAN DIBERI PENEKANAN — NANCY

KUCHING, 28 Jan – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil pendekatan turun padang, bagi memastikan usaha pemerkasaan wanita benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian.

Pendekatan itu dilaksanakan dengan mendekati komuniti, mendengar sendiri keperluan mereka serta memastikan tiada wanita di Sarawak tercicir daripada arus pembangunan.

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, dari sudut ekonomi, program Wanita Dinamik dilaksanakan, bagi membantu kaum hawa menjana pendapatan dan berdikari.

Sejak 2021, seramai 21,274 wanita di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program berkenaan, dengan hampir 8,000 daripadanya merupakan wanita di Sarawak.

Selain itu, kepimpinan wanita turut diperkukuh melalui Program Perantisan Kepimpinan Wanita yang menyaksikan 100 wanita dipilih di seluruh negara, termasuk 11 peserta dari Sarawak.

Aspek kesihatan wanita juga tidak diketepikan menerusi sasaran 32,000 wanita menjalani saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA pada tahun ini.

“Setiap usaha ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan wanita Sarawak bukan sahaja dilindungi, malah diperkasa daripada aspek pendapatan, kepimpinan hinggalah kesihatan. Apabila wanita berdikari dan sihat, seluruh keluarga akan lebih sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo di Kuching, yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jamalia

FOTO: UKAS

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *