

Laporan oleh Sholina Osman dari Krabi, Thailand
28 JAN. 2026
Peringatan untuk rakyat Malaysia yang mahu bercuti ke Hat Yai sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) disaran membuat persediaan rapi termasuk perlindungan insurans kesihatan dan kenderaan yang bersesesuaian.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata insurans kenderaan ini bergantung kepada keadaan cuaca terutamanya jika melancong di musim tengkujuh yang membawa kemungkinan banjir.
Beliau berkata sehingga kini 60 peratus hotel di Hatyai yang terjejas akibat banjir besar pada penghujung November lalu telah mula dibuka.
Ahmad Fahmi berkata dijangka hotel akan dibuka sehingga 80 peratus menjelang TBC nanti.
PROGRAM ZIARAH MAHABBAH
“Menjelang Pesta Songhkran pada bulan April ini hotel-hotel di Hatyai akan dibuka 100 peratus,” kata beliau kepada media Malaysia sempena Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Andaman 2026 di Krabi yang berlangsung pada 23 hingga 25 Januari 2025.
Rombongan program ziarah yang memasuki edisi ke-11 tahun ini diketuai Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAlPs. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama ahli-ahli Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
MEMPROMOSI MAKANAN PERLIS
Pada program itu, Raja Muda Perlis turut berkenan ke Majlis Sembah Mengadap Tahunan oleh Ketua atau Wakil Majlis Agama Islam (MAl) Enam Wilayah Andaman selain Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis berkenan mempromosikan masakan Perlis iaitu Kurma Daging dan Tahun Melawat Perlis 2024-2026.
Wilayah Andaman merangkumi Krabi, Ranong, Phuket, Phang Nga, Trang dan Satun. – JM
