MA63 DAN IGC PERLU DALAM SILIBUS PENDIDIKAN NEGARA

KUCHING, 25 Jan β€” Kefahaman terhadap sejarah penubuhan Malaysia perlu diperkukuh dalam sistem pendidikan negara, khususnya berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, penekanan terhadap sejarah Malaysia perlu seimbang dan tidak tertumpu semata-mata kepada sejarah penubuhan Malaya.

Menurut beliau, kandungan silibus pendidikan harus memastikan generasi muda memahami asas pembentukan Malaysia secara menyeluruh bagi mengelakkan salah faham terhadap kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan.

β€œRamai yang tidak memahami perkara ini kerana dalam proses pendidikan, sejarah penubuhan Malaysia tidak banyak ditekankan. Sebaliknya, ia lebih tertumpu kepada sejarah penubuhan Malaya. MA63 dan Laporan IGC tidak dimasukkan dalam silibus sejarah, menyebabkan ramai tidak memahami perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi dialog bersama Jaringan Alumni Universiti Oxford dan Cambridge di Kuching, malam tadi.

Beliau menjelaskan, pemahaman yang tepat tentang sejarah mampu membina semangat kebersamaan serta memupuk sikap saling menghormati antara wilayah.

Menurutnya, semakan kandungan silibus perlu dilakukan secara berkala agar selari dengan keperluan semasa serta cabaran masa hadapan.

Usaha tersebut kini melalui proses libat urus berterusan bersama pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan.

Wartawan/Foto: ROSE

beritartmsarawak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *