







24 Jan 2026
Selesai program di Permatang Pasir, Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim meneruskan perjalanan ke Kubang Semang, Bukit Mertajam bagi merasmikan Masjid Jamek Kubang Ulu.
PMX berkata, institusi masjid merupakan teras pembinaan insan yang menghidupkan iman, menyuburkan tradisi ilmu serta membentuk akhlak dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurut Anwar dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan budaya, masjid harus berperanan sebagai jambatan perpaduan, bukan tembok pemisah.
MENUNTUT PENGORBANAN
Jelas PMX lagi peranan tersebut tidak menuntut pengorbanan prinsip atau pencairan akidah, sebaliknya menzahirkan wajah Islam yang sebenar berteraskan akhlak, ihsan dan kebijaksanaan.
Beliau menegaskan bahawa perkauman sempit dan sentimen kebencian tidak pernah menjadi ajaran agama.
” Islam tidak mengizinkan permusuhan sesama manusia, apatah lagi sikap melampau yang lahir daripada kefahaman sempit, jumud dan kolot sehingga merosakkan keharmonian serta mencarik perpaduan rakyat.
” Kerajaan MADANI akan terus memperteguh syiar Islam di negara ini dengan memelihara kesuciannya, memperkasa institusi masjid dan memastikan Islam kekal sebagai sumber rahmah, keadilan serta penyatuan dalam membina masyarakat dan negara yang beradab, ” jelas PMX dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.
