SPRM, MEDIA SALING MELENGKAPI BANTU SEBAR MESEJ ANTIRASUAH

Kota Bharu, 22 Januari – Media merupakan perantara yang penting di antara kerajaan dan masyarakat umum bagi menyebarluas mesej pencegahan rasuah dengan lebih berkesan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, media lebih pakar dalam menyampaikan mesej kepada rakyat dalam memastikan masyarakat tahu perkara yang benar atau salah.

“Kita sudah sedia maklum, sesuatu berita kini disampaikan dalam pelbagai platform media sama ada cetak mahupun melalui media sosial yang kadang-kadang memerlukan pengesahan daripada sumber yang sah.

“Justeru, sesi libat urus dan kebersamaan bersama media amat penting untuk menyebarkan maklumat-maklumat penting bagi mengelakkan perspektif negatif masyarakat kepada SPRM. Keikhlasan dan kerjasama media amat saya hargai,” katanya pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di Hotel Grand Riverview yang dihadiri lebih 40 wakil media dari Pahang, Terengganu dan Kelantan, di sini hari ini.

Terdahulu Tan Sri Azam menjadi tetamu dalam sesi temubual khas di stesen radio, KELANTANfm yang bersiaran secara langsung pada jam 9.30 pagi.

Beliau berkata, SPRM akan terus bergerak seiring dengan pengamal-pengamal media baharu dalam mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara bebas rasuah khususnya melaksanakan inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), Muhammad Yatimin Abdullah berkata, hubungan media bersama SPRM saling melengkapi antara satu sama lain dan sentiasa menyokong tindakan agensi ini membanteras rasuah di negara ini.

“Media akan berusaha sebaik mungkin membantu SPRM dalam menyampai dan menghebahkan berita berkaitan dengan rasuah. Kita mahu masyarakat tahu betapa bahayanya jenayah rasuah ini kepada masyarakat dan negara.”

“Dengan adanya program SPRM bersama media ini, hubungan media bersama SPRM akan menjadi lebih kukuh dan kita dapat membantu kerajaan menyampaikan dasar-dasar kerajaan dengan lebih jelas serta berkesan,” katanya.

Dalam program ini, turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh Pengarah SPRM Pahang, KPKPj Mohd Shukor Mahmud; Pengarah SPRM Terengganu, KPKPj Hazrul Shazreen Abd Yazid Ruslan dan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Kelantan, PPj Najwa Mohd Sabry.
Hadir sama Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tuan Kamaruddin Mape dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff; Pengarah SPRM Kelantan, KPKPj Azmin Yusoff dan Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Ivan Toh Swee Ming.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *