

Oleh: Sholina Osman
22 JAN. 2026
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail merangkap Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkenan memasyhurkan dua entiti utama di pusat pengajian itu dalam majlis yang berlangsung di Istana Arau, hari ini.
Penamaan semula entiti itu membabitkan Kampus Kejuruteraan USM yang ditukar kepada Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin manakala Pusat Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser USM pula ditukar kepada Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, penamaan semula sesebuah entiti institusi pedidikan tinggi bukan sekadar bersifat simbolik malah turut mencerminkan amanah, penghargaan serta legasi yang ingin diwariskan kepada generasi akan datang.
SEBAGAI INSTITUSI KEMASYARAKATAN
“Dalam hal ini, beta berharap agar universiti ini kekal berperanan sebagai institusi kemasyarakatan yang seimbang, menggabungkan kemajuan sains dan teknologi dengan nilai kemanusiaan, ihsan, tanggungjawab dan sosial demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara,” titah baginda pada majlis berkenaan.
Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan baginda disambut oleh Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.
Sementara itu, Abdul Rahman sewaktu mempersembahkan ucapannya berkata, pemasyhuran Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin memperlihatkan peranan institusi pengajian itu sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi tinggi.
KEMBALI KE PULAU PINANG
“Kampus cawangan USM yang asalnya adalah di Seri Iskandar, Perak, dan dikenali sebagai Kampus Cawangan Perak (KCP) pada tahun 1986, serta kembali ke Pulau Pinang pada tahun 2001 sebagai Kampus Kejuruteraan. Kini ia secara rasmi dimasyhurkan sebagai Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM.
“Ia juga berperanan sebagai hab utama dalam pembangunan teknologi semikonduktor, kecerdasanbuatan (AI), pembungkusan elektronik termaju serta pelbagai cabang kejuruteraan lain menerusi pelaksanaan inisiatif kerjasama strategik dengan rakan industri di peringkat global serta tempatan,” katanya.
Ujar beliau, pemasyhuran pusat kanser itu pula adalah bagi menghargai jasa bekas Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang berjuang dalam pembangunan pendidikan dan kesihatan negara.
RAWATAN BERTEKNOLOGI TINGGI
Tambahnya, pusat kanser itu turut menawarkan rawatan berteknologi tinggi termasuk onkologi klinikal, radioterapi, brakiterapi, pembedahan, perubatan nuklear dan rawatan paliatif.
“Pusat ini juga diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan oleh Brachy Academy, sebuah organisasi yang diasaskan di Belanda dan terkenal sebagai pusat rujukan utama teknik Hybrid Brachytherapy and Intensity-Modulated Radiotherapy (HyBIRT) untuk merawat kanser lidah tanpa pembedahan,” katanya. – JM
