Sekolah Antarabangsa, Agama, UEC wajib tawar BM, Sejarah dalam SPM – PMX

Wartawan JM
21 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua sekolah di negara ini termasuk di sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diwajibkan menawarkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata ketetapan baharu itu akan menyelaraskan semua sistem pendidikan negara di bawah kerangka yang sama, sekali gus menamatkan kekeliuan dan polemik berkaitan
kesetaraan laluan akademik ke pendidikan tinggi.

“Keadaan sudah berubah di mana majoriti besar pelajar aliran UEC dan sekolah antarabangsa mengambil
SPM tetapi dalam aturan sekarang, (subjek) Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan bagi sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat dan semua sekolah aliran Cina atau UEC,” kata Anwar ketika berucap pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, semalam.

KEKALKAN MANHAK TARBIAH

“Mereka boleh kekalkan manhaj tarbiah dan kitab-kitab masing-masing, kita tidak akan usik. Tetapi sebagai syarat menerima bantuan kerajaan, mereka juga diwajilbkan mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Anwar berkata kerajaan juga mahu memastikan bahasa kebangsaan itu terus dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan lingua franca negara.

“Negara telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, maka penguasaannya bukan sekadar menguasai, tetapi perlu ditingkatkan kurikulum di sekolah dan universiti harus diperkasakan seiring tuntutan masa,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa penguasaan bahasa Inggeris mesti ditingkatkan agar subjek itu tidak diajar secara sambil lewa, memandangkan
Malaysia merupakan negara perdagangan yang bergantung kepada interaksi global.

“Bahasa Ingeris harus diberi lebih keutamaan sebagai bahasa kedua. Standard dan mutu pengajaran mesti ditingkatkan,” katanya.

Anwar berkata penguasaan bahasa Inggeris penting dalam transformasi digital, peralihan tenaga, kecerdasan buatan (Al) dan bidang ilmu berkaitan masa depan.

Anwar turut mengarahkan Kementerian Pendidikan supaya menyediakan guru yang mencukupi bagi semua bahasa utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris serta bahasa pilihan seperti Mandarin, Tamil dan Arab agar keperluan pelajar di semua sekolah kebangsaan dipenuhi dengan baik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *