Solat asas pembinaan keadillan, keharmonian sejagat – PMX

Wartawan JM
17 JAN. 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar lbrahim berkata antara peristiwa agung dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ialah penerimaan langsung perintah solat lima waktu sebagai ibadah teras dalam kehidupan seorang Muslim.

Beliau berkata solat bukan sekadar ibadah rutin, sebaliknya mempunyai dimensi yang luas dengan kesan mendalam bukan sahaja kepada pembentukan diri individu, malah turut melibatkan keluarga, masyarakat dan negara.

Anwar berkata tokoh ulama Islam Nusantara Syeikh Daud Al-Fatani dalam karya klasik Munyatul Musolli, tidak hanya membahaskan tatacara solat, malah turut menyentuh aspek siyasah dan tatakelola yang baik.

MENGENAI IBADAH SOLAT

“Dalam bab “Tatmim al-Fa’idah”, Syeikh Daud menyentuh mengenai ibadah solat namun jauh daripada itu mengaitkan dengan prinsip keadilan,” kata beliau dalam perkongsian di FB.

Beliau berkata keadilan adalah tentang keseimbangan dan wujud secara beriringan dengan fenomena convivencia global, iaitu keadaan di mana masyarakat sejagat hidup bersama dalam budaya damai.

“Menjadi kewajiban sama ada Muslim atau bukan Muslim, bagi berusaha ke arah mencapai matlamat bersama kemanusiaan, agar keadilan dijajarkan pada tempat yang sepatutnya,” kata beliau.

“Kita mesti mulakannya dengan hidup bersama-sama secara rukun dan damai serta menolak prasangka, stereotaip palsu dan momokan musuh-musuh yang direkayasa untuk menghancurkan keharmonian hidup kita,” kata beliau.

Anwar berkata pada masa yang sama mesti tetap tawaduk dan rendah hati, kerana kita mungkin tidak mempunyai jawapan yang tepat.

“Bahkan jika kita mendapat jawapan sekalipun, kita tidak boleh terlalu gopoh dan tergesa-gesa menanggapinya sebagai penyelesaian yang tuntas,” kata beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *