





Tulisan dan foto: Sholina Osman
16 JAN. 2026
Terima kasih PMX, tidak pilih kasih dalam menjaga kebajikan setiap rakyatnya dari segenap lapisan.
Golongan bujang walau selama ini dianggap sebagai kelompok yang terbeban dengan tanggungjawab di rumah juga tidak terkecuali sebagai penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini.
Mulai hari ini (16 Januari) golongan bujang yang berusia dari 18 hingga 59 tahun layak menerima bantuan bulanan sehingga RM100 mengikut kelayakan masing-masing.
MELAHIRKAN RASA SYUKUR
Tinjauan Wartawan Jendela Madani mendapati rata-rata golongan bujang melahirkan rasa syukur apabila dipilih sebagai penerima bantuan SARA.
Hasrul Hisham Hashim, 38, berterima kasih kepada PMX yang memahami golongan bujang juga turut bertanggungjawab terhadap ahli keluarga bagi masih mempunyai ibu, ayah dan adik-adik.
“Umpamanya saya tinggal dengan ibu, semestinya saya juga tidak mahu “lepas tangan” untuk menyediakan keperluan barangan dapur di rumah,” kata “store keeper” di Hotel Seri Malaysia di Kangar.
MENJIMATKAN BELANJA DAPUR
Beliau berkata dengan bantuan RM50 sebenarnya disifatkan tetap besar kerana dapat menjimatkan belanja dapur di mana duit dapat disimpan untuk tabungan.
Muhammad Aizuddin Akmal Musa, 28 mengakui bantuan SARA sangat membantu apabila golongan bujang seperti beliau kini boleh mendapatkan barangan dapur sebagai “percuma” berbanding sebelum ini terpaksa mengeluarkan duit.
“Saya amat bersyukur setelah membuat semakan pagi ini, bantuan SARA diluluskan,” kata beliau.
MENERUSKAN BANTUAN SARA
Aizuddin berharap semoga kerajaan Madani meneruskan bantuan SARA ini bagi memastikan golongan bujang tidak diketepikan.
Nur Aqilah Hayazi, 33 menyifatkan bantuan SARA ini akan membolehkan beliau “menokok tambah” barang keperluan dapur untuk sekeluarga.
Beliau berkata sekurang-kurangnya ibu bapa beliau dapat menarik nafas lega apabila beliau kali ini dapat membantu menambah barang keperluan dapur.
Jelas beliau, sebagai golongan bujang, pastinya tidak akan lagi rasa dipinggirkan oleh kerajaan apabila SARA kini dikhususkan untuk mereka. – JM
