






Oleh: Sholina Osman
15 JAN. 2026
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) harus terus berani mengemudi inovasi, tetap cekap dalam penyampaian perkhidmatan, serta kekal dekat dengan denyut nadi rakyat yang memerlukan.
Demikian menurut kenyataan MAIPs dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat mempengerusikan Persidangan Majlis yang buat julung kalinya diadakan di Bilik Mesyuarat Kompleks baharu MAIPs di Jalan Pegawai, Kangar yang masih dalam pembinaan baru-baru ini.
Baginda yakin pihak MAIPs akan menilai kembali pencapaian dan menetapkan hala tuju baharu bagi tahun 2026 ini selaras dengan Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026 – 2030.
DIBINCANGKAN DAN DITELITI
Segala perkara yang telah diputuskan, dibincangkan dan diteliti dalam mesyuarat tersebut hendaklah diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan integriti serta berpaksikan kepada kemaslahatan Ummah.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra amat menghargai segala usaha gigih semua pihak dalam memperkukuh kedudukan MAIPs sehingga ke hari ini.
Kejayaan dalam pengurusan zakat, pelaksanaan program kebajikan, pemantapan pentadbiran, serta perluasan jaringan strategik adalah bukti bahawa MAIPs terus bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas dan tindakan yang tersusun.
SEMUA PENYUMBANG ZAKAT
Baginda turut berterima kasih kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs dan berharap agar segala pencapaian dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
Terdahulu daripada itu Tuanku Raja Muda merangkap Yang DiPertua MAIPs serta ahli-ahli Majlis meluangkan masa meninjau tapak kerja-kerja Projek Pembinaan Kompleks Pentadbiran baharu MAIPs di bandar Kangar yang disasarkan akan siap sepenuhnya pada tahun ini. – JM
