
KUCHING ,15 Jan – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) segera mengambil langkah perlindungan dan kebajikan bagi memastikan nasib tiga anak pasangan suami isteri yang maut dipercayai dibunuh di Jalan Brayun, Taman Mutiara, di sini, terpelihara.
Menterinya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata kementerian amat bersimpati dengan tragedi mengejutkan itu, khususnya kerana mangsa meninggalkan dua remaja perempuan yang masih bersekolah menengah dan seorang kanak-kanak lelaki sekolah rendah.
Menurut beliau, pegawai pelindung telah menjalankan lawatan serta pengumpulan maklumat bagi menilai keperluan kebajikan kanak-kanak terlibat selain memberi tumpuan pemulihan emosi mereka agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih stabil.
“seperti biasa kita akan mengadakan lawatan dan pelindung kita telah mengambil maklumat-maklumat tertentu dan juga anak-anak ini saya difahamkan di bawah jagaan keluarga dia, sebelah ibunya dan juga kita memberi sokongan dari segi psikososial, pada masa yang sama insya Allah kita cuba melihat untuk membantu anak-anak ini menggunakan tabung di bawah JKM kita,” Katanya.
Ditemui media di Kuching, Dato’ Sri Nancy turut menjelaskan bahawa penjagaan sementara anak-anak tersebut dilaksanakan mengikut peraturan sedia ada, memandangkan mereka kini dijaga oleh ahli keluarga terdekat, proses permohonan penjagaan sah melalui mahkamah telah dimaklumkan kepada penjaga bagi memastikan status jagaan yang sesuai dan terjamin dari segi undang-undang.
Dalam kejadian awal pagi semalam, pasangan suami isteri berusia 45 dan 44 tahun ditemui meninggal dunia oleh orang awam sekitar pukul 6:55 pagi.
Firdaus
