





PUTRAJAYA, 14 Januari 2026 β Majlis Amanat Ketua Pengarah Imigresen Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Datoβ Zakaria bin Shaaban telah berlangsung di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Imigresen Perkasa, bacaan ikrar, doa serta tayangan video sorotan pencapaian Jabatan sepanjang tahun 2025, sebelum diteruskan dengan penyampaian Amanat Ketua Pengarah Imigresen.
Dalam amanatnya, Ketua Pengarah Imigresen mengajak seluruh warga Jabatan untuk melangkah ke tahun 2026 dengan tekad dan semangat baharu, berpaksikan satu matlamat dan tema yang sama iaitu βMelakar Wajah Baharu JIM (The New FACE of JIM)β. Tema ini mencerminkan aspirasi Jabatan untuk membentuk sebuah organisasi yang lebih berwibawa, berintegriti serta mempunyai sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berfokuskan rakyat.
Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, empat fokus utama telah digariskan bagi tahun 2026, iaitu integriti, penguatkuasaan, kemanusiaan serta agenda kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan. Integriti ditekankan sebagai asas kepercayaan dan tadbir urus Jabatan, manakala penguatkuasaan akan terus diperkasakan secara berstrategi, berasaskan risikan dan undang-undang. Dalam masa yang sama, nilai kemanusiaan melalui penerapan empati dan ihsan akan terus dijunjung selari dengan prinsip Malaysia MADANI, khususnya dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Adaptasi teknologi AI dan pendigitalan pula dilihat sebagai pemacu utama ke arah perkhidmatan yang lebih pantas, tepat dan berkesan.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan pelancaran buku Meniti 365 Hari bersama Jabatan Imigresen Malaysia, penyampaian sijil penghargaan kepada Subject Matter Expert (SME) Akta Imigresen serta penyampaian Anugerah Impak Digital Lestari JIM. Anugerah Jangkauan Digital Aset Tertinggi telah dianugerahkan kepada JIM Negeri Selangor, Anugerah Impak Komunikasi Digital kepada JIM Negeri Johor, Anugerah Posting Paling Popular kepada JIM Negeri Perlis, manakala Anugerah Aspirasi Advokasi Digital kepada JIM Pulau Pinang.
Majlis disusuli dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Cipta Nama Aplikasi Mudah Alih NIISe, penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir JIM Perlis serta sumbangan Back to School.
Amanat Ketua Pengarah Imigresen ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan, demi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti dan berteraskan aspirasi Malaysia MADANI sepanjang tahun 2026.
Turut hadir, barisan pegawai pengurusan tertinggi Jabatan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri serta warga Imigresen. Bersempena majlis ini juga, turut diadakan pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah dan jualan agro Madani.
